Makna buat kehidupan

Tentunya orang yang belum merasainya tidak akan pernah mengetahui bagaimana rasanya. Nikmat berkumpul bersama dalam satu majlis. Nikmat mentadabbur ayat-ayat Allah dan mengingatkan satu sama lain tentang janji Allah yang memang pasti. Nikmat berukhuwah atas nama Islam dan dasarnya akidah tauhid. Nikmat bersama-sama di dalam suatu ikatan usrah.

Begitu besarnya makna usrah untuk diri saya. Setelah beberapa tahun di bumi UK, saya kini boleh katakan seminggu saya memang tidak akan lengkap jika tak berusrah. Bagaikan ada sesuatu yang ‘missing‘ jika tidak bersama akhawat tersayang di dalam majlis ini. Majlis yang bukan sekadar majlis ilmu, tapi pastinya lebih lagi daripada itu. Majlis yang begitu memberi makna ‘kehidupan’ buat diri yang selalu terlupa. Teringatpula  ayat Al Quran di 8:24..

Daripada murabbi-murabbi yang sabar melayan karenah kami, saya temui begitu banyak mutiara darpada mereka. Mereka orang-orang yang lebih lama dalam dakwah ini, yang lebih banyak makan garam, tetapi tidak pernah lokek untuk berkongsi segalanya dengan kami. Mereka mengajar saya betapa tarbiyah itu bukan sekadar teori, bukan sekadar ayat-ayat di mulut, tetapi juga sesuatu yang perlu diterjemahkan dengan amal. Mereka juga menjadi contoh terbaik membina keluarga Muslim dalam erti kata yang sebenar.

Mereka begitu meyakini bahawa dunia ini hanya akan terselamat dengan cahaya Islam sahaja. Maka pemuda-pemuda seperti kitalah perlu membina diri kita untuk mencapai tahap supaya kita mampu sama-sama beramal jamaie membawa Islam ke tempat yang sepatutnya. Mereka memberi saya keyakinan dan dorongan bahawa saya mampu melakukan perkara yang saya sendiri ragui saya mampu lakukannya. Mereka mempercayai potensi diri ini yang tak seberapa dan mendorong saya agar ia digunakan sepenuhnya untuk amal Islami.

Teringat kisah-kisah dahulu bila saban minggu, perjalanan menaiki tren untuk ke tempat usrah sudah menjadi perkara biasa. Malah menjadi perkara yang ditunggu-tunggu kerana dapat bertemu dengan akhawat-akhawat lain daripada lokaliti lain.

Tahun berganti tahun, begitu juga dengan ahli-ahli usrah. Ada ahli usrah yang bersama-sama dari dahulu sehinggalah kini. Ada ahli usrah yang dahulunya bersama kini telah kembali ke tanah air-ada yang sudah berkahwin, ada yang sudah bercahaya mata. Alhamdulillah🙂

Selalu juga terfikir, bertuahnya diri ini kerana disapa dengan nikmat hidayah Allah ini. Juga nikmat hidup dalam biah solehah dan dipermudahkan untuk mendapat hidayah Allah dalam pelbagai bentuk. Nikmat yang paling hebat dan manis sekali pastinya apabila dapat berkenalan semula dengan Pencipta yang Maha Agung, mengenaliNya melalui ayat-ayat Al-Quran dan menginsafi betapa lemahnya diri ini.

Sedangkan di luar sana betapa ramai rakan seusia masih terkinja-kinja dengan hiburan yang melalaikan, masih sibuk mengejar harta dunia tanpa peduli makanan rohani, masih meraba dalam gelap mencari-cari makna hidup yang sebenar. Di luar sana, pemuda-pemuda bagaikan tiada arah tujuan hidup dan larut dalam nikmat duniawi yang begitu mengasyikkan. (Beradanya saya di Malaysia pada waktu ini mengiyakan fakta di atas.)

Di suatu sudut lain, saya sebenarnya berasa kasihan pada mereka kerana mungkin mereka hanyalah ‘mangsa keadaan’.

Saya juga agaknya begitu jika tidak ada hidayah yang menyapa. Saya juga agaknya begitu jika tiada kawan-kawan, akak-akak yang datang berkongsi tentang nikmat iman dan islam dengan saya suatu hari dahulu. Saya juga agaknya begitu jika tiada akhawat-akhawat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan bersama dan tsabatnya kita dalam jalan ini.

Namun tiada satu jaminan bahawa saya akan terus kekal di jalan ini, kerana hanya Allah yang memegang hati ini. Dan hanya padaNya lah saya meminta agar Dia terus memimpin saya ke jalan yang lurus.

“Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah, Dia akan membukakan dadanya untuk Islam. Dan barang siapa dikehendakiNya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit….” 6:125

Buat para duat,

Teruskan menyentuh hati-hati manusia, membantu mereka (dan diri kita) membuang segala noda hitam dalam hati supaya mudah hidayah Allah itu hinggap ke dalam hati. Kongsilah permata-permata tarbiyah berharga yang telah kita peroleh dan sangat sayangi ini dengan mereka di luar sana. Sebarkan bait-bait hikmah daripada Al Quran untuk dikongsi bersama rakan-rakan. Teruskan mengajak mereka untuk bersama kita dalam usaha fastabiqulkhairat ini.

Kerana sebenarnya, manusia seluruhnya sangat menanti-nantikan cahaya Islam, juga sangat-sangat menanti-nantikan kita. Kerana jauh di sudut hati, mereka juga ingin mengenal kembali Allah, dan mereka juga ingin mengenali Islam itu sendiri. Mereka juga ada impian yang sama dengan kita, iaitu untuk menggapai nikmatnya Syurga Jannatul Firdausi dan menatap wajah Allah yang Esa.

Moga Allah kekalkan kita dalam nikmat iman dan islam ini -walaupun ia berbunyi cliche, tetapi pengertiannya begitu besar bagi yang benar-benar memahami.

Marilah kita berusaha untuk kembali dekat padaNya, taat padaNya dan ikhlas melakukan segala-gala keranaNya.

Dan marilah kita mengajak kawan-kawan di luar sana untuk berada bersama dalam gerabak ini, jangan biar ada seorang yang tercicir, kerana walaupun payah dan sukar perjalanannya, namun syurga dan redha Allah yang menanti itu begitu besar ganjarannya.

 “Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..” 3:133

“Iaitu syurga ‘Adn yang telah dijanjikan oleh Tuhan yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya sekalipun (syurga itu) tidak tampak. Sungguh, (janji Allah) itu pasti ditepati.” 19: 61

Wallahualam..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s